Powered By Blogger

Selamat Berkunjung

Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Selamat Datang dan selamat melayari laman blog MUTIARA BAHASA yang dibina khusus untuk memberi panduan (walaupun secebis) kepada para pelajar dan pendidik agar kita semua memperoleh ilmu dan membina kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Memperoleh A adalah menjadi impian dan harapan bagi setiap pelajar. Laman blog ini, insya-Allah akan menjadi satu wahana penyebaran ilmu dalam subjek Bahasa Melayu dan wadah untuk membantu pelajar memperoleh pengetahuan dan menjanakan kemahiran berbahasa Melayu mereka .Dengan izin Allah, berkat usaha dan doa yang tidak mengenal jemu, A Bahasa Melayu akan dikurniakan Allah kepada kita. Terimalah laman ini sebagai sumbangan kecil saya dalam sama-sama merealisasikan agenda memartabatkan Bahasa Melayu. Terima kasih kerana melayari blog ini.

Tuesday, 4 December 2012

PEMBELAJARAN MULTIMEDIA

Belajar Peribahasa Dengan Video Animasi

     Assalammualaikum, lama sudah saya tidak update entry . Tetapi Alhamdulillah hari ini ada sedikit keluangan.

     Hari ini Cikgu Maslona nak kongsi dengan semua tentang Laman Ruangan Multimedia DBP yang mengandungi banyak bahan yang boleh kita gunakan sebagai bahan bantu mengajar bagi Mata Pelajaran Bahasa Melayu. Di laman ini banyak terkandung pelbagai video animasi yang sesuai untuk kanak-kanak belajar bahasa melayu terutamanya peribahasa. Antaranya seperti gambar dibawah.

 Cerita-cerita peribahasa yang berkaitan dengan ayam.

 Setiap cerita akan disertakan dengan pelbagi aktiviti untuk murid seperti penerangan tentang perbendaharaan kata yang terdapat pada cerita, kuiz yang berkaitan dengan cerita, permainan dan cenderamata.
 Permainan yang disediakan untuk murid.

Kuiz untuk menguji kefahaman murid-murid tentang cerita yang ditonton.

Semoga dengan sedikit informasi ini dapat membantu anda insyallah...
Sumber : ilhamkuselalu.blogspot.com

Sunday, 25 November 2012

Ayat Tanya


  1. Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
  2. Terdapat dua jenis ayat tanya, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
  3. Tanda soal (?) diletakkan pada akhir ayat dalam tulisan.

(i) Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya

  1. Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata.
  2. Dalam tulisan, nada tanya ini ditandai dengan tanda soal (?).
  3. Ayat contoh:
  • Adik masih belum makan?
  • Pemuda itu malas?
  • Pertandingan bercerita itu diadakan pada minggu hadapan?
  • Erra penyanyi yang popular?
  • Bas itu sudah bertolak?

(ii)Ayat Tanya Dengan Kata Tanya
  1. Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, bila, mana, bagaimana dan sebagainya.
  2. Ayat contoh:
  • Barang itu apa?
  • Pemain piano itu siapa?
  • Hari jadi kamu bila?
  • Pejabat pos di mana?
  • Keadaan nenek kamu bagaimana?
  1. Dalam bentuk tulisan, ayat-ayat tanya ini perlu menerima partikel "-kah" dan diletakkan di hadapan ayat.
  2. Ayat contoh:
  • Apakah barang itu?
  • Siapakah pemain piano itu?
  • Bilakah hari jadi kamu?
  • Di manakah pejabat pos?
  • Bagaimanakah keadaan nenek kamu?

KATA GANDA SEPARA

Kata ganda separa ialah kata ganda yang terhasil daripada pengulangan suku kata pertama pada kata asalnya. Huruf vokal pada suku kata pertama kata dasar itu berubah menjadi vokal e. Kata ganda separa tidak menggunakan tanda sempang ( - ).

Kata ganda separa terbentuk daripada kelas kata nama sahaja. Perhatikan contoh di bawah ini:-
kunyit= Kekunyit
tulang= Tetulang
riang= Reriang
sendi= Sesendi
lada= Lelada


Contoh penggunan kata ganda separa dalam ayat:
1.   Kekotak itu disusun dengan rapi sekali.
2.   Peparu wanita itu berair.
3.   Bebuluh itu dibelah un tuk dibuat lantai rumah.
4.   Ibu suka makan bebotok.
5.   Laluan masuk ke gua batu itu dipenuhi dengan sarang lelabah.

Senarai Kata Ganda Separa.
balang-balang     =       bebalang
bendul-bendul    =       bebendul
beras-beras         =       beberas
bibir-bibir           =       bebibir
gelung-gelung    =       gegelung
jamu-jamu          =       jejamu
juang-juang        =       jejuang
buluh-buluh        =       bebuluh
kunci-kunci        =       kekunci
sendal-sendal     =       sesendal
gasing-gasing     =       gegasing
dawai-dawai      =       dedawai

·         Kata ganda separa ada yang menyatakan maksud tunggal dan ada yang menyatakan maksud bilangan banyak/jamak.
       Perhatikan penerangan yang berikut.

A.   Kata Ganda Separa (maksud bilangan tunggal)
       Contoh:

oneng-oneng               tetamu
kekuda                       tetulang
jejentik                       sesiku
kekabu                       sesendi
tetupai                         lelayang

B.   Kata ganda separa (maksud bilangan jamak/banyak)
      Contoh:

lelada                           dedahan
kekotak                       jejari
jejala                            pepohon
dedaun                         bebuluh

Dalam penulisan, kata ganda separa tidak memerlukan tanda sempang ( - )
Contoh:
            le-laki (X)                                ke-kura (X)
            lelaki  (√)                                 kekura  (√)

·         Kata bilangan tidak boleh digunakan kepada kata ganda separa yang telah sedia membawa makna jamak.
Contoh:
            1.a)   Beberapa helai dedaun kering itu diterbangkan oleh angin ke udara. (X)
               b)   Dedaun kering itu diterbangkan oleh angin ke udara. (√)
               c)   Beberapa helai daun kering itu diterbangkan oleh angin ke udara. (√)

·         Kata bilangan boleh digunakan kepada kata ganda separa yang menyertakan makna tunggal atau satu.
Contoh:
            1.   Tiga ekor lelabi itu mati di dalam air sungai yang telah tercemar itu.
            2.   Lima ekor pepijat merayap di atas tilamnya.

Saturday, 24 November 2012

Jenis-jenis Ayat

Jenis-jenis ayat dapat dibahagikan kepada empat jenis;
i) Ayat penyata
ii) Ayat tanya
iii) Ayat perintah
iv) Ayat seruan
a) Ayat Penyata
Ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat keterangan.
Contoh:
(21). Saya sudah memiliki kereta baru.
(22). Dunia ini penuh dengan dugaan.
(23). Dia pandai mengawal emosinya.
b) Ayat Tanya
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu. Ayat tanya boleh wujud dengan kata tanya atau tanpa kata tanya.
c) Ayat Perintah
Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan bertujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, anda, engkau dan sebagainya.
d) Ayat Seruan
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan dengan tujuan melahirkan sesuatu keadaan perasaan seperti marah,takut,gembira,sedih dan sebagainya. Contoh kata seru ialah oh, amboi, wah, cis, aduh dan sebagainya. Menurut Abdullah Hassan (2005), ayat seruan lazimnya tidak sempurna dan menyatakan perasaan sedih, suka, gembira, duka , terkejut, marah, hairan dan lain-lain.

Ayat Tunggal

  • Ayat tunggal ialah ayat terbentuk daripada satu klausa , iaitu ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
  • Ayat dasar juga adalah ayat tunggal, tetapi bukan semua ayat tunggal dapat dianggap sebagai ayat dasar.
  • Ayat dasar merupakan ayat tunggal jenis ayat penyata dalam ragam ayat aktif.
  • Ayat ini juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat selapis.
  • Contoh : Lelaki itu /sedang menembak burung.
Subjek    =  Lelaki itu
Predikat  =  sedang menembak burung .
  • Ayat-ayat berikut ialah contoh ayat-ayat tunggal
  • (subjek ditebalkan. Selainnya ialah predikat).
Ibu negara Malaysia Kuala Lumpur.
Gunung Kinabalu gunung tertinggi di Asia Tenggara.
Di dalam almari tali leher ayah.(pasif)
Nama encik siapa?
Berapakah keuntungan kita hari ini?
  • Ayat tunggal terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.
  • Subjek ayat tunggal boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif.
  • Begitu juga dengan predikat ayat tunggal boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

Penanda Wacana

Penanda wacana digunakan untuk menulis ringkasan dan pemahaman, karangan.


i) Penanda wacana untuk memulakan karangan

1. Pada era globalisasi ini,
2. Dalam meniti arus kemodenan ini,
3. Dewasa ini,
4. Pada masa ini,
5. Kini,
6. Dasawarsa ini,
7. Sejak sedekad yang lalu,
8. Kebelakangan ini,
9. Belakangan ini,
10. Sejak akhir-akhir ini,
11. Baru-baru ini,
12. Umum mengetahui bahawa,
13. Sejak zaman-berzaman
14. Sejak dahulu lagi
15. Pada tahun-tahun belakangan ini,

ii) Penanda wacana untuk memulakan isi baharu selepas perenggan pengenalan

1. Antara, (untuk perenggan kedua)
2. Selain itu,
3. Di samping itu,
4. Sementara itu,
5. Dalam pada itu,
6. Lain daripada itu
7. Dalam pada itu,
8. Seterusnya,
9. Begitu juga dengan
10. Ahkir sekali,

iii) Penanda wacana untuk menghuraikan isi karangan
1. Saya berpendapat demikian kerana
2. Hal ini demikian kerana
3. Hal ini berlaku kerana
4. Hal ini terjadi kerana
5. Hal ini disebabkan oleh
6. Hal ini wujud akibat daripada
7. Hal ini bersangkut-paut dengan
8. Hal ini berpunca daripada
9. Hal ini tercetus apabila
10. Tindakan tersebut perlu dilakukan supaya……………..

iv) Penanda wacana untuk memberi contoh dalam karangan

1. Misalnya,
2. Contohnya,
3. Sebagai contoh,
4. Tamsilnya,
5. Seperti yang kita sedia maklum,
6. Antaranya adalah seperti
7. Satu contoh
8. Satu cara
9. Antara contoh

v) Penanda wacana untuk menghuraikan contoh

1. Hal ini mengakibatkan
2. Hal ini menyebabkan
3. Oleh itu,
4. Maka,
5. Oleh hal yang demikian,
6. Oleh sebab itu,
7. Jelaslah bahawa
8. Justifikasinya,

vi)Penanda menutup isi

1. Kesannya,
2. Natijahnya,
3. Akibatnya,
4. Akhirnya,
5. Dengan itu,
6. Kesudahannya,
7. Dengan berbuat demikian,
8. Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat

1. justeru
2. juga
3. malah
4. malahan
5. tambahan pula
6. sementelahan
7. bahkan juga
8. sekali gus
9. di samping
10. bahkan
11. malar-malar

viii) Penanda wacana untuk memulakan perenggan penutup

1. Kesimpulannya,
2. Intihanya,
3. Secara tuntas,
4. Tuntasnya,………….
5. Konklusinya,
6. Sebagai penutup wacana,
7. Sebagai penghias bicara akhir,
8. Sebelum mengakhiri wacana ini,
9. Secara keseluruhan,
10. Secara total,
11. Akhir kata,

ix) Penanda wacana untuk menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza

1. Walau bagaimanapun,
2. Namun demikian,
3. Namun begitu,
4. Meskipun,
5. Daripada perspektif yang berbeza,
6. Jika dilihat dari sudut lain,
7. Dengan kata lain,
8. Kontradiksinya,
9. Di sebalik itu,
10. Dalam pada itu,
11. Dari sudut lain,

x) Penanda memulakan atau memasukkan ungkapan menarik termasuk peribahasa, slogan dan kata-kata hikmat
1. ___bak /seperti kata peribahasa,
2. ___bak kata peribahasa Melayu,
3. ___bak kata pepatah Melayu,
4. ___bak kata pepatah Cina/Inggeris/dll
5. ___bak kata mutiara,
6. ___bak peribahasa,
7. ___bak pepatah,
8. ___bak kata cendekiawan,
9. ___persis kata peribahasa,
10. ___persis kata peribahasa Melayu,
11. ___persis kata orang tua-tua,
12. ___persis kata mutiara,
13. ___persis peribahasa,
14. ___persis kata cendekiawan,
15. Hal ini sama dengan peribahasa
16. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni
17. Fenomena ini dikatakan
18. Masalah ini sama dengan peribahasa
19. Saya yakin kalau slogan _________ diamalkan
20. Saya berharap agar slogan _________ dijadikan pegangan oleh semua

Dimuat turun daripada http://guruselamanya.wordpress.com/2011/03/02/penanda-wacana/

Perkembangan Bahasa Melayu

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
  • Bahasa Melayu Kuno
  • Bahasa Melayu Klasik
  • Bahasa Melayu Moden

Bahasa Melayu Kuno
Merupakan keluarga bahasa Nusantara.Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa  kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.
Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.
Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Asal Usul Bahasa Melayu



Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:

  1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
  2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.
  3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
  4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.